PENGIMARAHAN MASJID; KEFAHAMAN DAN TUNTUTANNYA

 Pengimarahan

PENGIMARAHAN MASJID; KEFAHAMAN DAN TUNTUTANNYA

PENGIMARAHAN MASJID; KEFAHAMAN DAN TUNTUTANNYA

Allah swt telah menjelaskan empat ciri utama golongan yang layak untuk mengimarahkan masjid dalam Surah al-Tawbah, ayat 18. Empat ciri ini juga menggambarkan sifat dan keperibadian akhlak muslim yang sejati. Pertama, beriman dengan Allah, kedua; beriman dengan hari Akhirat, ketiga; mendirikan solat, dan yang keempat ialah menunaikan zakat. Di hujung ayat ini, Allah swt berfirman,
فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
“Moga-moga mereka yang mengimarahkan masjid dan rumahku termasuk dalam golongan yang diberikan petunjuk.”
Fungsi masjid telah ditunjukkan dengan jelas oleh Nabi Muhammad saw dan para sahabat. Peranan institusi masjid sejak ditubuhkan lebih terarah kepada perkara-perkara dasar seperti yang berkaitan dengan hal-ehwal negara, membincangkan strategi peperangan, berperanan sebagai pusat komuniti, pusat ekonomi dan kebajikan, serta bertindak sebagai pusat penyatuan ummah yang unggul dan terbilang. Kepimpinan masjid sejak diasaskan sehingga berakhir zaman kegemilangan Islam, telah dipimpin oleh generasi yang terbaik dan cemerlang pada zaman tersebut. Namun, setelah sekian lama, peranan dan fungsi masjid mengalami perubahan ketara. Pada mata kasar, peranan masjid dan kepimpinannya pada hari ini kebanyakkan hanya terlibat dengan aktiviti yang berkaitan dengan hal-ehwal kematian, nikah kahwin, mengetuai majlis bacaan doa, yasin dan tahlil sahaja. Masjid tidak lagi berperanan sebagai pusat pentadbiran yang membuat keputusan-keputusan dasar yang penting dan berimpak tinggi.
Malah, bukan itu sahaja, fungsi-fungsi lain juga turut terhakis. Pada zaman Rasulullah saw, masjid menjadi tempat golongan fakir miskin berteduh dan memohon bantuan, namun sekarang, peranan itu seakan-akan tiada. Malah, masjid kini tidak lagi mesra terhadap anak-anak kecil yang memasuki masjid dengan alasan menjejaskan kekhusyukan para jemaah. Sekiranya perkara-perkara ini benar-benar terjadi, maka ia bercanggah dengan konsep masjid yang dibina dan diasaskan oleh Rasulullah saw.
Masjid mesra kanak-kanak. Itulah konsep yang dibawa oleh Rasulullah saw. Lihatlah bagaimana Rasulullah saw membiarkan cucu Baginda iaitu Saidina Hasan dan Husain ra membesar sejak kecil di persekitaran Masjid Nabawi, bergurau dan berlari di dalamnya. Diriwayatkan bahawa Saidina Hasan dan Husain ra pernah bermain dan memanjatkan tengkuk Baginda saw yang sedang sujud menunaikan solat bersama para sahabat di masjid. Hadirin sekalian, Rasulullah saw dan para sahabat adalah orang yang sangat menjaga khusyuk, namun tidak ada riwayat yang menunjukkan Rasulullah ataupun mana-mana sahabat yang memarahi atau melarang Saidina Hasan dan Husain ra atau mengherdik kanak-kanak lain daripada memasuki masjid selepas kejadian itu.
Tegasnya, kepimpinan masjid memikul amanah yang besar untuk mengembalikan kegemilangan institusi masjid sebagai pusat yang diasaskan atas prinsip iman dan taqwa. Sekiranya diamati, pengimarahan dari sudut ruh lebih utama berbanding tanggungjawab pengimarahan dari sudut fizikal dan luaran. Oleh sebab itu, Allah swt menempelak masyarakat arab jahiliyyah yang hanya memfokuskan pengimarahan Masjidil Haram dari sudut fizikal tetapi mengabaikan pengimarahan dari sudut maknawi dan ruh apabila enggan beriman dengan Allah swt dan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw.
Allah berfirman dalam Surah al-Tawbah 19:
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَوُونَ عِنْدَ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: Adakah kamu menyangka bahawa khidmat memberikan minuman kepada jemaah yang mengerjakan haji, dan khidmat memakmurkan Masjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka tidak sama pada sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah kepada kaum yang zalim.
Secara umumnya, pengimarahan masjid hendaklah merangkumi perkara-perkara berikut:
  1. Pengurusan dan pentadbiran
  2. Ibadah dan akidah
  3. Kebajikan dan komuniti
  4. Keilmuan dan pendidikan
  5. Kebersihan dan keceriaan
  6. Ekonomi dan kewangan
  7. Dakwah dan politik
Berdasarkan kenyataan ini, pengimarahan masjid perlu difahami dalam konteks yang lebih luas dan menyeluruh. Sebagai contoh, perancangan dan usaha untuk melahirkan generasi pelapis yang mampu meneruskan tugas seorang imam, bilal dan siak hendaklah diperkasa dan dilihat sebagai suatu bentuk pengimarahan masjid yang sangat penting dan relevan pada hari ini. Dari sudut penyampaian ilmu dan maklumat, masjid hendaklah terkehadapan dalam membincangkan isu-isu semasa yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenarnya seperti isu kumpulan militan Daesh, Syiah dan sebagainya.
Selain pengimarahan yang telah disebutkan sebentar tadi, kepimpinan masjid hendaklah bertanggungjawab memperkasakan pengimarahan dari sudut kebersihan dan keceriaan. Dalam hal ini, masjid sepatutnya muncul sebagai tempat yang paling bersih dan berjaya melahirkan umat Islam yang cintakan kebersihan.
Firman Allah swt:
لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ.
Maksudnya:
Jangan engkau solat di masjid (Dirar) itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya Masjid Quba' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau solat padanya.Di dalam masjid itu ada kalangan lelaki yang suka membersih dan mensucikan dirinya; dan Allah mencintai golongan yang cintakan kebersihan.
Surah al-Tawbah, ayat 108
Sejurus turun ayat ini, Rasulullah saw bersabda,
يَا مَعْشَرَ الْأَنْصَارِ! أَنَّ اللهَ قَدْ أَثْنَى عَلَيْكُمْ فِي الطُّهُوْرِ . فَمَا طُهُوْرِكُمْ ....؟
“Wahai golongan Ansar, Allah memuji kebersihan kamu, apakah bentuk kebersihan yang kalian telah lakukan?...”.[1]
Lihatlah bagaimana Allah swt memuji amalan kebersihan yang ditunjukkan oleh golongan Ansar dan akhirnya ia menjadi ciri-ciri utama golongan yang mengimarahkan masjid dan rumah Allah swt. Persoalannya, di manakah tahap dan kualiti kebersihan masjid atau rumah Allah ketika ini? Amat malang, jika kebersihan masjid masih dipertikaikan, tandasnya kotor dan menjijikkan, tanah perkuburannya pula penuh dengan semak samun dan persekitarannya tidak diuruskan dengan baik. Malah, amat memalukan kita sebagai umat Islam, jika tahap kebersihan masjid masih jauh ketinggalan berbanding rumah-rumah ibadat lain yang nyata jauh lebih bersih dan ceria.
Selain kepimpinan masjid, anak qaryah dan para jemaah turut memainkan peranan utama untuk mengimarahkan masjid di tempat masing-masing. Hal ini boleh dilakukan dengan;
  1. Menjaga kemuliaan masjid, adab dan kehormatannya
  2. Menjaga hak jemaah dan para malaikat iaitu dengan menjaga kebersihan diri dan bau mulut.
  3. Menginfaqkan harta dan wang ringgit untuk Tabung Masjid.
  4. Menunaikan solat fardu secara berjemaah.
  5. Menghadiri kelas pengajian dan program yang dianjurkan
  6. Menggalakkan ahli keluarga seperti isteri dan anak-anak untuk melibatkan diri dengan aktiviti masjid seperti solat berjemaah
  7. Menjaga kebersihan masjid
  8. Membaiki kerosakan
  9. Mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak masjid
  10. Dan yang terakhir rela mempertahankan kemuliaan dan kesucian masjid.
Setiap kita diberikan peluang untuk mengimarah dan memakmurkan masjid mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing. Gunakanlah segala kurniaan Allah swt untuk memakmurkan masjid, sama ada dengan kuasa, harta-benda, wang-ringgit dan kepakaran yang dimiliki.
Siapa pun jua kita, sama ada sebagai Pengerusi atau Ahli Jawatankuasa Qaryah, Imam, Bilal, Siak, mahupun anak jemaah, semuanya mempunyai peluang yang sama-rata untuk mengimarahkan rumah suci ini. Ada sejadah yang usang, lalu kita hadiahkan dengan sejadah yang baru, maka itulah maksud imarah. Ada daun yang gugur di lantai masjid, lalu kita membuangnya, maka itulah sekecil-kecil makna imarah yang ingin disampaikan di sini.

Adaptasi daripada teks khutbah Jumaat yang ditulis dan disampaikan oleh Ustaz Nazrul Hassan, Penolong Pengarah Kanan Pusat Islam USM ( http://pusatislam.usm.my)

[1]               HR Ibnu Majah. Sahih menurut al-Albani.

No comments:

Post a Comment

Kuliah Maghrib - 4 Okt 2024