Puasa Sunat Enam Syawal
عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ
رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ
شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Daripada Abu Ayyub Al-Ansari
RA bahawa ia telah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barang
siapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan puasa enam
hari dari bulan Syawal maka seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun.”
(Sahih Muslim No: 1984) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih
Pengajaran :
1. Kewajipan mukmin melaksanakan ibadat puasa sebulan Ramadan.
2.
Orang yang berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan dan diikuti puasa
sunat di bulan Syawal sebanyak enam hari, ganjaran pahala yang diperoleh
setara dengan berpuasa sepanjang tahun.
3. Menurut Imam
Nawawi: “Ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu
hasanah (pahala) mendapat 10 gandaan. Jadi puasa Ramadhan sebulan
seumpama puasa 10 bulan. Manakala puasa 6 hari seumpama puasa dua
bulan”.
4. Puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, tidak
semestinya dilakukan enam hari berturut-turut. Puasa sunat boleh bermula
pada dua, tiga, empat hari raya Aidil Fitri atau bila-bila masa pada
bulan Syawal sehingga berakhirnya Syawal.
5. Imam al-Nawawi
dalam mensyarahkan hadis ini menaqalkan; Berkata Ashab al-Syafie: “Yang
paling afdhal dalam melaksanakan puasa sunat enam hari di dalam bulan
Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Eid al-Fitri,
jika sekiranya tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari
tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari dalam bulan Syawal
maka itu juga turut mendapat fadhilat al-Mutaba‘ah (puasa yang
mengiringi).”
Marilah dalam kemeriahan kita meraikan hari raya, jangan lupa puasa sunat enam hari di bulan Syawal.
Jadilah
kita seorang Rabbani (hamba Allah yang selalu beribadah kepada-Nya di
setiap waktu dan tempat), dan janganlah kita menjadi seorang Ramadani
(orang yang hanya beribadah kepada Allah di bulan Ramadan). Bangunkan
Jiwa Taqwa