Saturday, July 5, 2025

Hukum Mencium Al Quran

 Apakah hukumnya amalan yang selalu dilakukan oleh orang yang membaca Quran termasuk kanak-kanak iaitu mencium Quran selepas membacanya atau ketika mengambilnya kerana ada orang yang mengatakan cium Quran itu merosakkan aqidah?

Jawapan:

Hukum mencium mushaf yakni Al-Quran ketika mengambilnya atau selepas menggunakannya adalah harus di sisi jumhur ulamak dan pendapat sebahagian ulamak mazhab Syafie dan Hanbali bahawa mencium mushaf itu disunatkan.

Berkata Imam As-Suyuthi:

يُسْتَحَبُّ تَقْبِيلُ الْمُصْحَفِ لِأَنَّ عِكْرِمَةَ بْن أَبِي جَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَانَ يَفْعَلُهُ

Ertinya: ”Disunatkan mencium mushaf yakni Quran kerana sungguhnya sahabat yang bernama Ikrimah bin Abi Jahal r.a. adalah beliau melakukannya yakni mencium akan mushaf.” (Kitab Al-Itqan)

Tersebut pada Fatwa Majlis Agama Palestin:

يجوز تقبيل المصحف كما قال : الحنفية والحنابلة . وروي عن الإمام أحمد استحبابه .

ومن أدلة ذلك: روي عن عمر رضي الله عنه أنه كان يأخذ المصحف كل غداة ويقبله . وكان عثمان رضي الله عنه يقبل المصحف ويمسحه على وجهه .

قال النووي في (التبيان في آداب حملة القرآن) : روينا في مسند الدارمي بإسناد صحيح عن ابن أبي مليكة : أن عكرمة بن أبي جهل كان يضع المصحف على وجهه ويقول : كتاب ربي كتاب ربي .

المجلس الإسلامي للإفتاء – الداخل الفلسطيني

Ertinya: “Harus mencium mushaf sebagaimana berkata akan dia oleh ulamak mazhab Hanafi dan Hanbali. Dan diriwayatkan dari riwayat Imam Ahmad akan sunatnya.Dan setengah dari dalil yang demikian itu ialah barang yang diriwayatkan daripada Umar r.a. sungguhnya beliau telah mengambil akan mushaf pada setiap pagi dan menciumnya. Dan adalah Uthman r.a. mencium akan mushaf dan menyapu akan Quran kepada wajahnya.

“Berkata Imam Nawawi pada kitab At-Tibyan fi Adabi Hamalatil Quran : Telah diriwayatkan pada Musnad Ad-Darimi dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Abi Mulaikah sungguhnya Ikrimah bin Abi Jahal r.a. adalah beliau meletakkan akan mushaf atas mukanya dan berkata : Kitab Tuhanku Kitab Tuhanku.” (Majlis Fatwa Palestin)

Kesimpulan

Mencium mushaf atau Quran itu hukumnya adalah harus pada setengah ulamak dan sunat pada setengah yang lain.

Mencium Quran adalah amalan sebahagian sahabat Nabi r.a.

Dan perkataan mencium Quran boleh merosakkan akidah itu adalah dusta tidak ada berkata seperti itu oleh ulamak dan menuduh sahabat-sahabat Nabi r.a. sebagai rosak aqidah adalah fitnah yang sangat keji.

Tidak rosak aqidah sebab cium Quran tetapi rosak aqidah sebab sakit hati melihat Quran dicium.

No comments:

Post a Comment

SELAWAT UNTUK RASULULLAH

 SELAWAT UNTUK RASULULLAH Abdullah bin Amr bin al-Ash bahwa dia mendengar Rasulullah brsabda. "Barangsiapa brselawat untukku sekali, ma...